Kenyataan media Dewan Muslimat PAS mengenai kes Altantuya
Aiman Athirah Al Jundi
Sat Apr 26, 08 2:23:27 pm MYT
DMPP mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam ke atas seorang pelancong asing yang juga boleh disifatkan sebagai "tetamu negara" dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu. DMPP berpendapat bahawa perbicaraan bagi kes ini sewajarnya disegerakan, berbanding sekarang yang ditangguh-tangguh oleh pihak mahkamah atas alasan terlalu banyak kes lain, seperti yang didakwa oleh bapa mangsa, Dr Shaariibuu Setev baru-baru ini.
DMPP memandang serius dan sangat tersentuh dengan kenyataan daripada bapa Altantuya yang telah datang ke Malaysia baru-baru ini bahawa beliau datang demi kemanusiaan dan bukannya kerana wang atau menuntut sebarang ganti rugi.
DMPP juga menginsafi bahawa ia jelas menampakkan kehampaan dan hilangnya kepercayaan seorang ayah yang selama ini telah berusaha untuk mendapatkan keadilan terhadap satu-satunya zuriat keturunan beliau yang dibunuh secara kejam dalam Negara Malaysia yang dilabel sebagai Selamat, Aman & Makmur oleh PM dalam PRU-12 yang lepas.
Kes ini boleh disifatkan sebagai berprofail tinggi, punya kepentingan ramai serta kes pembunuhan paling berat kerana menguji bahkan mencabar integriti Malaysia di mata dunia khususnya terhadap sistem dan proses perjalanan keadilan dalam negara yang kita semua cintai ini.
Seluruh rakyat dari dua negara yang terlibat sedang memberi tumpuan terhadap perjalanan dan kesudahannya. Kes ini bukanlah kes biasa. Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara wajar memberikan prioriti tertinggi bagi menyelesaikan polemik ini secara telus, amanah, beretika, bijaksana dan professional.
DMPP menggesa agar ketiga-tiga entiti keadilan yang penting ini tidak membiarkan apa jua unsur mahupun ruang yang akan menghalang mereka daripada menjalankan tugas sejujur yang boleh kerana natijah bagi kejujuran dan kebijaksanaan merekalah yang akan membawa kesudahan paling memuaskan hati semua pihak khususnya yang menjadi mangsa tindakan kejam "pembunuh berkuasa" dalam negara ini. Iaitu bila semua yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ini dijatuhi hukuman paling berat dan pihak yang menjadi mangsa diberikan keadilan paling wajar.
Jika sebelum ini atau sekarang ini kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berani untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Altantuya dan Kerajaan Mongolia di atas apa yang berlaku yakni pembunuhan dan segala bentuk tuduhan memalukan ke atas Altantuya dan keluarganya, dan Jika sekiranya kerajaan Malaysia dapat berjanji untuk memberi tumpuan utama terhadap penyelesaian kes ini; saya yakin dan percaya bahawa ia suatu yang sangat positif dan dapat mengurangkan beban perasaan yang ditanggung oleh keluarga mangsa, rakyat dan kerajaan Mongolia selama ini. Malangnya, tindakan diplomatik sebegitu dilihat gagal dibuat secara bijaksana oleh pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri.
DMPP menginsafi bahawa tindakan diplomatik itu wajar disegerakan. Pendekatan negara yang melayan mangsa dan keluarga mangsa sebagai pihak yang seolah-olah tidak bermaruah, rendah moral, dan bersalah dengan membiarkan beberapa pihak seperti media massa yang mengaitkan Altantuya sebagai Pelacur dan seumpamanya harus dihentikan dan diambil tindakan.
Sudah sampai masanya keluarga mangsa diberikan sambutan dan layanan sebagai "tetamu negara" dan bukannya sebagai musuh kepada mana-mana pihak atau individu yang berkuasa dalam negara ini. Kerajaan Malaysia wajib menerima mereka dengan akhlaq dan adab Islam.
Jelas, terdapat banyak keraguan bagi kes ini kerana seperti yang umum telah tahu bahawa kaedah pembunuhan mangsa adalah melibatkan penggunaan senjata api yang terkawal di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Hatta, kehilangan rekod kemasukan yakni maklumat imegresen mangsa ke dalam Negara ini meskipun saudara beliau mengesahkan bahawa mereka telah memasuki Malaysia dengan cara yang sah, jelas menimbulkan keraguan bersebab munasabah yang sangat kuat bahawa di sana terdapatnya unsur-unsur konspirasi dan komplot terancang.
DMPP juga mencabar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baru iaitu YB Dato' Ng Yen Yen agar menyatakan pendirian kemanusiaan terhadap kes ini kerana ia melibatkan seorang wanita yang menjadi mangsa pembunuhan paling zalim. Bukan setakat itu, maruah mangsa dan keluarga mangsa juga telah dikoyak-rabakkan dengan melabelkan mangsa sebagai pelacur, agen CIA dan seumpamanya. Bahkan, dalam kes ini Menteri Wanita mesti memberikan penegasan bahawa: Adakah jika kerana seorang wanita itu pelacur maka apa jua bentuk tindakan ke atas mereka wajar termasuklah jika mereka dibunuh dengan senjata api terkawal di bawah Kementerian Pertahanan?
DMPP sangat berdukacita kerana sehingga kini kementerian yang menjaga hal ehwal wanita, keluarga dan masyarakat terus sahaja membisu daripada membuat pendirian rasmi terhadap kes yang membabitkan maruah dan keadilan serta kemanusiaan seorang wanita yang bernama Altantuya Shaariibuu.
Akhirnya, DMPP berharap agar rakyat negara ini dan rakyat negara Mongolia tetap tidak jemu untuk terus mengikuti perbicaraan bagi kes ini secara kritis untuk kita sama-sama memastikan keadilan dapat ditegakkan. Sebelum ini, tidak pernah terlintas di benak kita betapa jenayah yang begitu kejam ini akan berlaku di dalam negara Malaysia. Lebih memalukan bila senjata pembunuhan yang digunakan pula merupakan senjata api TERKAWAL di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Atas realiti fakta senjata pembunuhan itu, DMPP mendesak agar Menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian ini SEGERA MELETAKKAN JAWATAN! Demikian juga desakan yang sama ditujukan kepada pihak/individu yang sewajarnya berperanan dalam memastikan pengawalan senjata tersebut tetapi telah GAGAL dalam menjalankan tanggung jawabnya.
Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment